Ada satu hari tu, ramai betul datang berkumpul depan pintu pejabat. Betul-betul selepas waktu rehat tamat. Kami yang di dalam ini sudah mengagak, pasti ada kes besar sebab mereka yang di luar itu dari satu kelas yang sama. Jumlah mereka adalah dalam 10 orang. Yang pelik kali ini, perempuan pun ada.
Disebabkan pintu cermin pejabat kami bila tengok dari luar tak nampak apa isi dalamnya, saya dan kawan melayan dulu gelagat mereka di luar dari dalam. Mereka menolak-menolak sesama, barangkali nak suruh siapa yang patut masuk mengadu kepada saya. Selepas beberapa saat, kawan saya, Zaleha pun dengan senyum pergi ke pintu dan membukanya.
Katanya “Ha, kenapa? Nak jumpa Ustaz Wan ke?” Serentak mereka menjawab beramai-ramai, dan berkata “Ya cikgu, nak jumpa Ustaz Wan. Ada orang mengamuk dalam kelas. Dia tumbuk orang” Riuh di luar, semua nak bercerita.
Tak pernah pula sebelum ini ada kejadian amuk di sekolah. Budak-budak ni, kalau dia bercerita memang bersungguh-sungguh. Kadang-kadang, cerita biasa-biasa aje, tapi boleh jadi besar dengan cara mereka menyampaikan cerita, juga dengan jumlah kehadiran mereka nak buat aduan. Huhu.
Saya pun bangun, dan pergi ke muka pintu juga. Saya minta yang lain semua masuk ke kelas, manakala ketua kelas yang turut bersama, saya memintanya memanggil murid yang mengamuk dan mangsa amuknya.
Sampai sahaja kedua-duanya di pejabat, saya mulakan soal siasat. Saya tanya terlebih dahulu kepada mangsa. Sambil diperhati penuh bengis oleh si pelaku. Mengikut ceritanya, asalnya dia bermain di dalam kelas, kemudian terlanggar sikit baju pelaku dan tak semena-mena pelaku tadi tu tumbuk dia di leher. Lepas tu pelaku menjerit-jerit.
Saya tengok muka pelaku. Mukanya masih geram. Menahan sabar.
Saya senyum. Saya kemudian tanya pula kepada pelaku. Betul ke sepertimana yang telah diceritakan si mangsa. Dia mengangguk. Saya tanya kenapa sampai jadi tumbuk begitu? Dia jawab penuh perasaan, sambil mula sebak “Dia tu sakitkan hati saya. Dia lalu belakang saya, kemudian terkena sikit baju saya. Saya tumbuklah!”
Ayat akhir tu menandakan dia masih marah. Saya pegang bahunya. Budak-budak, bila saya pegang bahu, samada dia senyum atau menutup mata.
Saya pun kata “Kenapa perlu sampai tumbuk? Tak boleh ke tegur baik-baik? Ini kalau sakit, kemudian mak dia bawa ke hospital, siapa nak bertanggungjawab? Sudah, minta maaf. Janji tak buat lagi. Kawal marah awak”. Dia macam tak puas hati, sempat menjeling kepada kawannya yang jadi mangsanya itu.
Saya tinggikan sedikit suara. “Awak nak minta maaf ke, atau saya ‘minta maaf’ dengan awak?” Lekas dia berpusing menghadap kawannya itu. Bersalam dan berpeluk. Ada sedikit air mata mengalir di pipinya.
Selesai sahaja mengisi maklumat kejadian dalam rekod disiplin, saya terfikir untuk menghubungi ibu anak tadi. Ibunya memang mempunyai hubungan baik dengan sekolah. Ibunya juga memang banyak membantu pihak sekolah dalam memeriahkan lagi program yang dirancang. Banyaknya, beliaulah menyumbang tenaga dan keringat untuk turut menjayakannya . Tetapi, selepas pada kawan saya diluar memanggil suruh tengokkan komputernya, saya terlupa untuk hubungi si ibu tadi.
Esoknya, sebelah petang ibu anak tadi datang berjumpa saya. Pertama, beliau mengucapkan terima kasih kerana menegur tindakan anaknya. Kedua, beliau meminta bantuan daripada saya pula. Katanya, baru tengahari tadi waktu pulang, anaknya menengking-nengking beliau di hadapan orang ramai. Tempat berlaku adalah di tapak perhimpunan sekolah.
Bersandar saya pada kerusi apabila mendengar cerita si ibu ni. Anaknya baru darjah tiga, tak akan sampai begini tahap lakunya? Nampak dari matanya, rasa risau, kecewa, geram dan sudah pasti sedih. Ibu ini ibu tunggal. Beliaulah yang menjaga perihal makan minum, pakaian dan persekolahan anak-anaknya.
Saya katakan padanya, esok insya-Allah saya panggil anaknya.
Keesokan hari, saya memanggil anak ini pada waktu pagi sebelum sesi pembelajaran bermula. Saya katakan padanya, saya berada dalam pondok pengawal semasa kejadian berlaku. Saya lihat satu-satu apa yang telah buat kepada ibunya. Dia mula menangis. Saya keraskan suara “Kenapa perlu buat begitu kepada mak awak? Dah tak sayang? Benci? Menyampah? Nak mak meninggal?”
Perlahan dalam esak tangis, dia menjawab “Ustaz, saya minta maaf. Saya janji tak buat lagi”. Saya tahu mak dia ada di kawasan sekolah waktu itu. Saya memintanya pergi berjumpa dengan ibunya dengan kadar segera. “Pergi jumpaminta maaf, cium kakinya dan janji tak buat lagi” katanya saya dalam nada suara perlahan. Tidak lagi keras.
Dia pergi bertemu manusia agung dalam hidupnya itu, si ibu.
Kasihan melihatnya.
Kemudian dia datang kembali bertemu saya. Meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perkara yang menyakitkan hati ibunya. Saya pegang bahunya. Dia menutup mata. Saya katakan kepadanya “Buka mata, jangan risau. Saya tak buat apa-apa. Mak kita, ibu syurga. Bagi mak menangis sebab perangai kita, bagi mak sakit hati sebab akhlak kita, ke nerakalah kita, tak berkat hidup, duit banyak mana pun, hati mak sakit, tak ada faedah. Mak adalah segala-galanya. Suka ke, tak suka ke pada mak, tetap kena buat baik. Tambah-tambah awak. Itulah mak, itulah ayah awak sekarang. Dia jaga awak, dia bagi makan minum kepada awak. Kena buat baik dengan mak. Bagi mak gembira. Bagi mak ketawa. Bagi mak balasan perangai baik yang Allah suka. Ingat, buat baik dengan sesiapa pun, terutama sekali mak ayah kita. Sudah, pergi masuk kelas”.
Selepas pada itu, asal berselisih dengannya, dia sudah rajin menguntum senyum kepada saya. Tidak lagi seperti dahulu. Masam mencuka, bagai mahu berlawan siapa patut jadi guru disiplin.
Ibunya pula, memberi khabar gembira. Ada perubahan demi perubahan pada anaknya. Syukur.
Nak ceritanya, itulah antara cara nak menang hati anak, iaitu dengan sentuhan pada bahu. Hati keras begitu, boleh jadi lembut. Dah puas tegur, marah anak-anak kita dengan hal kelakuan atau apa sahaja yang kita tak puas hati dengannya, bina kembali suasana ceria dan gembira pada diri mereka.
Tunjukkan sebenarnya kita memang kasih dan sayang kepada mereka. Teguran bukan membenci tubuh badan, teguran adalah tanda kita tak setuju dengan sikap atau sifat negatifnya.
Tak perlu mencaci, mengeji dan mengejek tubuh badannya terhadap kesilapan dan kesalahan yang telah dia lakukan.
Budak zaman sekarang cepat memberontak. Kena belajar cara nak menang hati dia. Asal dia mengubah sikap negatif kepada positif, itu adalah kejayaan. Bukan kita, tapi dirinya sendiri.
Kita sekadar membantu, menjalankan tanggungjawab supaya anak-anak kita ini besarnya nanti penyejuk jantung hati kita, penghantar doa dari jauh untuk kita.
Rajin berdoa supaya anak-anak kita dilembutkan hati dan mendengar kata. Kita nak akhklaknya indah, indah jugalah dari bibir kita untuknya.
WS Adli,
Semoga anak-anak semua baik lakunya
No comments:
Post a Comment