Thursday, October 26, 2017

Malam Jumaat.

Malam Jumaat selalu dimomokkan dengan cerita hantu. Dari kecil sampailah ke besar. Dekat tv pun sama. Cerita hantu. Sekarang tak tahulah, sebab aku dah tak tengok tv (dah 3 minggu sampai ke hari ni).
Walaupun kau baru balik masjid baca surah Yasin seperti selalu kita buat malam Jumaat sejak dari kecil, perasaan takut tu ada je. Baik masa naik motor, naik basikal ataupun berjalan kaki. Itu kesan dari dakyah yang kita terima.
Aku pun tak tahu betul ke tak pasal ni. Aku rasa ia lebih kepada perasaan kita.
Malam Jumaat sebenarnya bermulanya hari yang mulia. Masuk maghrib, masuklah hari Jumaat. Penghulu segala hari. Di situlah hari dituntut membuat amalan kebaikan berlebihan dari biasa. Hari ini juga Tuhan tawarkan ganjaran berlipat kali ganda dengan amalan-amalan tertentu.
Yang kita jadi takut pasal apa?
Gangguan ini jadi hebat bukan apa, pasal kita juga. Benda halus ni sukalah kalau kita takut. Pernah suatu hari dalam kuliah seorang ustaz pengamal perubatan Islam, beliau kata bila kita tengok cerita hantu, hantu pun join tengok sekali. Tu yang jadi seram sejuk satu badan. Yang pergi tengok tu, tengok pula pada malam Jumaat. Tak tengok pada malam lain.
Kemudian kecoh kata dia jumpa hantu dalam toilet lah, dalam biliklah, rasa ada benda lalu kat belakang lah, bunyi orang ketuk pintu dan macam-macam lagi. Dah kita yang memanggil mereka datang, mereka datanglah.
Siapa yang buat masalah?
Tak dinafikan, memang ada juga gangguan hasil daripada orang yang dengki pada kita. Itu bab lain. Ini nak cerita pasal gangguan yang disebabkan oleh kita. Yang kita sendiri cari masalahnya.
Lebih baik malam Jumaat kita dipenuhi dengan bacaan surah Yasin atau surah Al Kahfi serta zikir. Tengah-tengah malam buat amal ibadah yang lain. Lagi berkat hidup dan dirahmati Tuhan.
Buang ajelah cerita-cerita mengarut malam Jumaat tu. Kalau betul-betul ada tu, minta lepas ni jangan ganggu kita lagi. Suruh dia pergi ke rumah lain. Huhu.
WS Adli,
Dalam rumah.

Wednesday, October 18, 2017

Assalamu'alaikum Warahmatullah dan selamat malam semua.

Alhamdulillah. Hari ini dah ada blog.

Nah, posting pertama. Heheh. Dah masuk dalam Facebook WS Adli W Muhammad.

Malam-malam begini, teringat pula zaman kecil-kecil dahulu. Mak buat air Nescafe. Ada biskut kering, sapu dengan marjerin berjenama Planta. Hui sedapnya makan.
Tak ada biskut kering, ambil roti. Sapu juga marjerin, letak gula. Sedap amat orang cakap. Tak sedar sebungkus roti tu habis di makan. Tak ada pula roti, ada pisang goreng. Cecah pula dengan gula. Ya Tuhan, nikmatnya makanan.
Semua mesti nak campur gula. Kasi manis.
Siapa nak makan tawar-tawar. Kurang selera orang cakap. Sampailah ke dah tua pun, masih nak gula.
Dalam kehidupan, ada masa kita kecewa, ada ketika kita sedih, banyaknya kita gembira, lebihnya kita ketawa. Sedar tak sedar, tak kiralah macamana keadaan kita, bila dikenang kenangan lalu, banyaknya buat kita tersenyum. Baik kisah sedih mahupun gembira. Rindu pada ayah yang telah pergi, kita kenangkan bagaimana kita bergurau senda dengannya. Rindu pada ibu yang telah tiada, kita kenangkan kesukaan kita memanggilnya ‘Mak’, kesibukannya berlumba-lumba buat itu dan ini di dapur.
Begitu juga dengan adik beradik. Macam-macam permainan. Bergusti, bergaduh, berlari dan memanjat pokok. Sekarang semua sudah terhad pertemuan. Ada yang bertahun tidak bertemu, akhirnya bertemu di pusara mengirimi doa bahagia di sana.
Kita senyum. Sedar tak sedar adakala kita rasai air jernih mengalir di pipi. Air mata petanda rindu pada sebuah kehilangan, rindu pada sebuah pertemuan, rindu pada sebuah pelukan, rindu pada berbagai sketsa, rindu pada segala-gala yang pernah dianggap buruknya dahulu, rupanya mampu mengukir senyuman di pipi.
Itulah kemanisan dalam kehidupan.
Yang merasai kehilangan, pasti tahu bagaimana perasaannya itu. Yang belum rasa, ambillah peluang selagi ada. Berbakti, berbudi, berbuat baik dan berkasih sayang.
Ada sengketa, leraikanlah. Ada tersinggung, berlapanglah. Ada dendam, padamkanlah.
Pilih yang manis-manis. Kelak berlaku kehilangan, tidak kita tersedu tersandar tersenyum menyesal.
Pernah tawar dan pahit, itulah pengalaman yang akan memaniskan kehidupan kita.
WS Adli,
Suka manis.