Ada satu hari tu, ramai betul datang berkumpul depan pintu pejabat. Betul-betul selepas waktu rehat tamat. Kami yang di dalam ini sudah mengagak, pasti ada kes besar sebab mereka yang di luar itu dari satu kelas yang sama. Jumlah mereka adalah dalam 10 orang. Yang pelik kali ini, perempuan pun ada.
Disebabkan pintu cermin pejabat kami bila tengok dari luar tak nampak apa isi dalamnya, saya dan kawan melayan dulu gelagat mereka di luar dari dalam. Mereka menolak-menolak sesama, barangkali nak suruh siapa yang patut masuk mengadu kepada saya. Selepas beberapa saat, kawan saya, Zaleha pun dengan senyum pergi ke pintu dan membukanya.
Katanya “Ha, kenapa? Nak jumpa Ustaz Wan ke?” Serentak mereka menjawab beramai-ramai, dan berkata “Ya cikgu, nak jumpa Ustaz Wan. Ada orang mengamuk dalam kelas. Dia tumbuk orang” Riuh di luar, semua nak bercerita.
Tak pernah pula sebelum ini ada kejadian amuk di sekolah. Budak-budak ni, kalau dia bercerita memang bersungguh-sungguh. Kadang-kadang, cerita biasa-biasa aje, tapi boleh jadi besar dengan cara mereka menyampaikan cerita, juga dengan jumlah kehadiran mereka nak buat aduan. Huhu.
Saya pun bangun, dan pergi ke muka pintu juga. Saya minta yang lain semua masuk ke kelas, manakala ketua kelas yang turut bersama, saya memintanya memanggil murid yang mengamuk dan mangsa amuknya.