Sunday, January 14, 2018

Kawan

Ada kawan pandai menjahit, ada kawan pandai buat parang. Ada juga kawan pandai memasak. Tidak kurang ada kawan yang terlibat dalam dunia perniagaan.

Ada pula kawan yang suka cari kelemahan kita. Yang suka tunggu masa nak hentam kita. Yang paling suka mengata kita di belakang. Bawa orang lain benci atau berprasangka buruk kepada kita. Buka aib kita sana sini.

Begitu juga dengan politik. Sama sekapal atau tidak sehaluan dengan kita, pun kita berkawan belaka.

Yang peliknya, kita tetap berkawan dengan semua jenis manusia, termasuk yang disenarai di atas mahu pun yang tidak tersenarai.

Kita tak memilih kawan. Tak pandang pun dia kaya atau miskin, senang atau susah, dunia kerja dia macamana semua kita tak tengok. Dia pijak kepala kita pun kita masih boleh bertegur sapa dengan dia.

Kita tahu ada kawan memusuhi kita dibelakang. Depan cantik manis senyuman  siap berucap salam bagai.

Kita tahu apa segala yang dia buat. Tapi kita buat tak tahu depan dia. Buat seolah-olah kita mempercayainya 100%, seolah-olah itulah kawan baik kita. Seolah-olah itulah kawan kita sampai ke syurga.

Kita memang berharap begitu. Bukan sekadar berkawan di dunia.

Lantaklah apa dia nak buat kepada kita. Yang kita kejar syurga, duduk di dalamnya. Bukan mahu ke neraka. Dia nak jadikan kita penghuni neraka berdasarkan cerita-cerita dia, kena ingat dia bukan Tuhan. Biarlah dia cerita seakan kita soranglah nanti akan diazab Tuhan atas segala dosa.

Kita teruskan berdoa. Semoga dia sedar. Doa yang baik-baik. Kita nak sama-sama ke syurga. Tak nak tinggalkan dia.

Ikutkan sakitnya hati, kecewanya pernah kenal dia, menyesal pernah berkawan dengan dia, tak dapat apa-apa pun. Sakit kepala memikir ada lah.

Baik kita selalu ingat pada Tuhan. Barangkali inilah ujian atau balasan atas segala salah laku kita tak ikut jalan yang dikehendaki-Nya.

Reda atas segala sesuatu. 

Ws Adli,
Berlapang dada.

Friday, January 12, 2018

Kejar Kebaikan

Apabila berlakunya pergaduhan antara murid di sekolah, biasanya guru akan berusaha mendamaikan mereka.
Pengalaman saya, murid yang bergaduh di dalam kelas akan dipanggil ke pejabat bersama beberapa orang saksi baik lelaki mahupun perempuan. Setelah disiasat dan mengetahui siapa yang memulakan dahulu, kebiasaannya saya mengarahkan murid yang bergaduh bersalaman dan berpelukan tanda meminta maaf sesama. Lelaki sama lelaki, perempuan sama perempuan.
Selalunya, hanya disebabkan perselisihan kecil, ia jadi besar. Ejek mengejek, tak dapat pinjam barang, tak puas hati diberi gelaran lain dan macam-macam lagi.
Yang perlu kita belajar dan ingat, jangan cari musuh atau mencipta musuh. Kita yang besar ini begitu juga. Siapa suka mencari musuh? Siapa suka mencipta musuh? Pasti tidak ada. Kalau ada pun, sudah pastilah hidupnya punya masalah. Samada masalah pada diri sendiri atau masalah yang membelenggu baik dari keluarga, pasangan atau orang sekeliling.
Ada pula yang mengambil kesempatan. Ada yang tidak puas hati kepada orang lain, akan diadu kepada rakan yang lain yang dirasakannya berkuasa untuk membantunya. Kemudian berlakulah perbalahan, berlakulah perang mulut, berlakulah pergaduhan sesama. Itu orang besar. Nak cari orang yang mengalah, biasanya sukar. Sebab masing-masing nak tegakkan benang dia.
Itulah kesan mengadu domba.