Friday, January 12, 2018

Kejar Kebaikan

Apabila berlakunya pergaduhan antara murid di sekolah, biasanya guru akan berusaha mendamaikan mereka.
Pengalaman saya, murid yang bergaduh di dalam kelas akan dipanggil ke pejabat bersama beberapa orang saksi baik lelaki mahupun perempuan. Setelah disiasat dan mengetahui siapa yang memulakan dahulu, kebiasaannya saya mengarahkan murid yang bergaduh bersalaman dan berpelukan tanda meminta maaf sesama. Lelaki sama lelaki, perempuan sama perempuan.
Selalunya, hanya disebabkan perselisihan kecil, ia jadi besar. Ejek mengejek, tak dapat pinjam barang, tak puas hati diberi gelaran lain dan macam-macam lagi.
Yang perlu kita belajar dan ingat, jangan cari musuh atau mencipta musuh. Kita yang besar ini begitu juga. Siapa suka mencari musuh? Siapa suka mencipta musuh? Pasti tidak ada. Kalau ada pun, sudah pastilah hidupnya punya masalah. Samada masalah pada diri sendiri atau masalah yang membelenggu baik dari keluarga, pasangan atau orang sekeliling.
Ada pula yang mengambil kesempatan. Ada yang tidak puas hati kepada orang lain, akan diadu kepada rakan yang lain yang dirasakannya berkuasa untuk membantunya. Kemudian berlakulah perbalahan, berlakulah perang mulut, berlakulah pergaduhan sesama. Itu orang besar. Nak cari orang yang mengalah, biasanya sukar. Sebab masing-masing nak tegakkan benang dia.
Itulah kesan mengadu domba.


Sepatutnya, bila kita semakin berumur, kita semakin mampu menahan sabar. Semakin mampu berlapang dada. Semakin banyak ceritakan kegembiraan daripada kesedihan. Semakin banyak mendekatkan diri kepada Tuhan, bukan semakin menjauhkan diri dari-Nya.
Bagaimana kita mendidik anak kita supaya sabar ketika makan, sabar ketika berkata-kata, sabar ketika membuat keputusan,sabar ketika diuji dalam kehidupan? Pasti kita tidak pernah mendidik mereka dengan hal negatif seperti pelahaplah ketika makan, menyampuklah dalam berkata, buatlah keputusan ikut suka.
Orang lain kita ajar dengan baik, bagaimana kita?
Cuba lihat anak sendiri, atau anak orang-orang lain. Mereka bersih. Hati mereka juga bersih. Kita tidak tahu hati kita yang berusia berpuluh tahun ini hitam bagaimana rupanya. Jika ada segala sifat dengki, benci, tak puas hati, dendam dan segala sifat buruk yang ditolak Tuhan, keluarkanlah daripada hati kita. Buat apa disimpan, buat apa dipendam, buat apa diperam membusuk.
Cakap memang mudah, kata orang. Tak rasa tak tahu. Sakitnya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Itu yang selalu kita keluh sebutkan. Ada juga perkataan ‘Tuhan’. Habis, apakah Tuhan hanya tahu ketika hati kita sakit?
Tuhan sentiasa ada untuk kita. Baik semasa gembira, semasa sedih, semasa diuji. Tuhan tak pernah hilang, tak pernah ‘bercuti’. Kita yang selalu ‘bercuti’ mengingati-Nya, itu betul
.
Jika anak-anak seminit lepas bergaduh, tak sampai seminit kemudian berbaik semula, kita pun boleh begitu. Tak payahlah nak simpan lama-lama. Muka cantik kacak pun jadi buruk jika diperam ketidakpuasan hati kita.
Jernihkan hati, jiwa jadi tenang. Buang yang buruk, bina kebaikan dalam diri. Berlumba mengejar kebaikan, itu lebih mulia.
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. Surah Al Baqarah ayat ke 148.
Ws Adli,
Hati sejuk

No comments:

Post a Comment